Sejarah & Makna Falsafah di Sebalik Baju Melayu

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Tahukah anda makna tersirat di sebalik Baju Melayu? Setiap bahagian Baju Melayu tradisional sebenarnya mempunyai makna yang tersendiri. artikel kali ini kami akan kongsikan falsafah dan asal usul di sebalik Baju Melayu yang mungkin masih ramai tidak mengetahui.

1. Butang

Terdapat 2 jenis reka bentuk Baju Melayu iaitu Cekak Musang dan Teluk Belanga.
Cekak Musang
Baju Melayu Cekak Musang mempunyai 5 butang yang melambangkan Rukun Islam. 2 butang di atas yang sedikit terpisah membawa makna mengucapkan 2 kalimah syahadah dan menunaikan solat fardu 5 waktu. 3 butang selebihnya pula bermaksud berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan haji bagi mereka yang mampu. Sekiranya hanya 3 butang sahaja dipakai maka falsafah menegakkan Rukun Islam melalui pemakaian tidak tercapai.
Teluk Belanga

Baju Melayu Teluk Belanga pula hanya mempunyai 1 butang melambangkan tauhid iaitu mempercayai Tuhan yang Esa.

Ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa terdapat Baju Melayu memiliki 7 butang yang hanya dipakai oleh golongan bangsawan. 7 butang tersebut melambangkan 7 lapisan langit, 7 lapisan syurga dan neraka. Tujuannya untuk mengingatkan golongan bangsawan kepada Allah yang Esa.

2. Saku

3 saku yang berada 1 di atas dan 2 di bawah pula melambangkan Islam, akidah dan ihsan.

3. Samping

Baju Melayu juga dilengkapkan lagi dengan pemakaian samping yang melambangkan kesungguhan menjaga syahwat, aurat dan maruah. Memakai samping sehingga bawah lutut bermaksud lelaki tersebut telah berkahwin manakala di atas lutut bermaksud masih bujang. Jika anda sudah berkahwin tetapi masih memakai samping di atas lutut, maka mungkin anda ingin menambah isteri.
Pemakaian samping juga boleh melambangkan status seseorang dalam masyarakat. Kaum kerabat di raja mengikat kepala samping di sebelah kanan, bangsawan di sebelah kiri dan di tengah untuk orang kebanyakan.

4. Sejarah Asal Usul Baju Melayu

Baju Melayu sebenarnya telah direka sejak 700 tahun yang lalu apabila Sultan Muhammad Shah, Sultan Melaka ketiga mengkehendaki satu pakaian rasmi diraja. Melaka pada ketika itu juga merupakan pusat perdagangan dan pelabuhan terkenal yang banyak dikunjungi oleh pedagang asing.

Maka, baginda telah mengeluarkan satu bentuk titah yang melarang orang-orang Melayu memakai cara atas angin iaitu seperti pakaian Arab, India dan Eropah serta cara bawah angin iaitu pakaian China dan Khmer. Oleh itu, Baju Melayu bertujuan untuk mewujudkan penampilan dan jati diri khusus orang Melayu.
Pada asalnya Baju Melayu tradisional banyak dipengaruhi daripada pakaian Arab iaitu jubah manakala seluar pula mempunyai pengaruh daripada Turki. Namun, kini Baju Melayu telah banyak diubah suai tanpa sebarang falsafah dan identiti budaya Melayu.
Walaubagaimanapun, sehingga kini Baju Melayu merupakan busana kebangsaan negara yang sering dipakai oleh kaum lelaki dalam majlis rasmi, ibadah dan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Secara ringkasnya, baju Melayu membawa falsafah dengan menggabungkan budaya Melayu dan pengaruh agama Islam yang sangat kuat.

Baiklah jangan lupa komen, tekan butang suka dan kongsikan artikel ini. Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Catat Ulasan

0 Ulasan

close