5 Salah Sangka Tentang WP Labuan

LABUAN atau jolokannya Mutiara Borneo mungkin masih tidak diketahui ramai sehingga sering timbul pelbagai salah sangka tentang pulau ini. Pulau Labuan yang berkeluasan 91.64 kilometer persegi ini terletak kira-kira 10 kilometer dari pantai Barat Negeri Wilayah Sabah. Kebanyakan pelancong dari luar negara yang tidak pernah ke pulau ini hanya menganggap sekadar pusat perdagangan luar pesisir dan bandar pelabuhan. 

Mari kita ketahui 5 salah sangka orang ramai tentang Labuan.

1. Labuan sebahagian dari Sabah

Sumber: Perbadanan Labuan

Q: Asal mana?
A: Saya dari WP Labuan.
Q: Ouh, Sabah..?

Masih ramai rakyat Malaysia yang menganggap Labuan merupakan sebahagian dari Sabah. Sebaliknya, Labuan telahpun menjadi Wilayah Persekutuan kedua Malaysia sejak 1984 lagi dan sudah tidak dianggap sebahagian dari Sabah. Untuk memudahkan kefahaman, Labuan tidak menggunakan bendera Sabah dan tidak ditadbir oleh Kerajaan Sabah, sebaliknya Labuan ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan tanpa ada kerajaan negeri. 
...dan wilayah bagi Negeri Sabah tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 [Akta A585], dan kesemua Wilayah Persekutuan tersebut hendaklah menjadi  wilayah-wilayah Persekutuan. - Fasal (4), Perkara 1, Perlembagaan Persekutuan. 

Sebagai tambahan, jangan pula keliru berkenaan berita hangat status Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak. Terma wilayah bagi Sabah dan Sarawak tersebut adalah berbeza  dengan Wilayah Persekutuan.

2. Orang Labuan bertutur dialek Sabah

Kalau anda menyangka penduduk Labuan bertutur menggunakan dialek Sabah dalam kehidupan seharian, sebenarnya anda silap! Penduduk Labuan yang majoritinya berbangsa Melayu Brunei dan Kedayan menggunakan dialek Melayu Brunei & Kedayan itu sendiri. Berikut merupakan beberapa perkataan dialek Melayu Brunei:
  • Awu=ya
  • ani=ini
  • atu=itu
  • kita=awak (digunakan untuk merujuk kepada orang yang lebih tua atau dihormati)
  • batah=lama
  • tah=lah
  • mun=kalau
  • basar=besar
  • damit=kecil
  • aing=air
  • karang=nanti
  • bisai=cantik
  • ia=dia
  • mulih=pulang
  • mengatil=mengacau
  • antah=entah
  • nda=tidak
  • majal=paksa
  • karit=kedekut

Untuk sub-dialek Kedayan pula hanya ada sedikit perbezaan sebutan huruf 'r' yang dimatikan getaran gusi. Misalnya /basar/ akan disebut menjadi /basaa/. Mun paham bisai.

3. Sebuah wilayah yang tidak membangun

Ujana Kewangan | Sumber: Mohd Faris
Labuan sebenarnya merupakan sebuah wilayah yang membangun. Berdasarkan Laporan Sosioekonomi Jabatan Perangkaan Malaysia 2019, Labuan menduduki tangga ke-4 dengan pertumbuhan 5.2% ekonomi melepasi paras nasional dan ke-2 tertinggi berdasarkan KDNK per kapita di Malaysia iaitu dengan purata pendapatan RM77,800 setahun.
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Bukan sekadar  sebuah pulau bebas cukai serta kaya dengan minyak dan gas asli, Labuan juga memiliki mercu tanda utama iaitu Ujana Kewangan yang mengandungi 6 buah bangunan serbaguna yang moden untuk keperluan bekerja, penginapan, beli-belah, reakreasi, persidangan dan menempatkan bank-bank dari luar negara. Hampir semua jabatan-jabatan kerajaan juga ditempatkan di Labuan. Bukan bertaraf pejabat daerah ya, sebaliknya bertaraf jabatan. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa Labuan masih ketinggalan jika dibandingan dengan 2 Wilayah Persekutuan yang lain iaitu Kuala Lumpur & Putrajaya.

4. Susah untuk dikunjungi

Lapangan Terbang Labuan
Pernah kenalan penulis bertanya, adakah Labuan memiliki lapangan terbang? Ya, sudah tentu ada.
Sebenarnya, penerbangan ke Lapangan Terbang Labuan adalah sekerap empat kali sehari seperti dari Kuala Lumpur, Miri dan Kota Kinabalu.

Selain itu, perkhidmatan feri ekspres sebanyak tiga kali sehari disediakan dari Terminal Feri Serasa di Muara, Brunei Darussalam ke Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan atau perkhidmatan bot ekspres dua kali sehari dari Sabah melalui Kota Kinabalu, Lawas, Sipitang dan Limbang di Sarawak serta bot ekspres dari Menumbok, Sabah. Anda juga boleh menggunakan feri kenderaan dari Menumbok Sabah atau Muara, Brunei untuk membawa kereta ke Labuan.
Terminal Feri Antarabangsa Labuan
Penulis juga berpendapat, jika Jambatan Labuan-Sabah direalisasikan sudah tentu akses pengangkutan lebih mudah sekali gus berfungsi sebagai game changer kepada pembangunan Labuan secara keseluruhannya.

5. Tiada apa yang menarik

Chimney Labuan
Mungkin anda pernah dengar bahawa anda boleh mengelilingi Labuan hanya dalam tempoh 1 hari kemudian balik membawa ole-oleh coklat murah. Ya betul, tapi sekiranya anda ingin menerokai keindahan sebenar Labuan anda perlukan lebih banyak masa berada di Labuan. 
Sebenarnya, pantai di sepanjang Pantai Batu Manikar hingga ke Pantai Sungai Pagar/Miri yang terletak di Labuan pernah dianugerahkan ‘United Nation COBSEA Clean Beach Award’ pada tahun 2008 dan diisytiharkan sebagai ‘101 The Most Beautiful Beaches In South East Asia’ pada tahun 2015. Di pantai tersebut anda boleh menikmati keindahan matahari terbenam.
Taman Burung Labuan
Labuan juga memiliki beberapa pulau lain iaitu Pulau Papan, Pulau Burong, Pulau Kuraman dan Pulau Rusukan Kecil serta Pulau Rusukan Besar yang merupakan antara taman laut negara. Selain itu, terdapat tapak selaman kapal karam yang terbaik di Asia seperti ‘Australian Wreck’, ‘American Wreck’, ‘Cement Wreck’ dan ‘Blue Water Wreck’. Tempat lain yang juga menarik untuk dikunjungi ialah Kampung Air Tradisional Patau-Patau, Memorial Perang Dunia Pertama, Taman Damai dan Chimney Labuan, Taman Burung dan banyak lagi.
Kampung Air Tradisional Patau-Patau 1


Penulis mencadangkan agar anda menjadikan Labuan sebagai salah satu destinasi perlu dikunjungi setelah Pandemik Covid-19 reda. Penulis juga berharap agar Labuan terus diberikan perhatian untuk dibangunkan seiring dengan 2 Wilayah Persekutuan yang lain. 

Sumber rujukan:

Catat Ulasan

0 Ulasan

close