DID dan Representasinya di Media

Amaran trigger: membincangkan isu penderaan.
Dissociative Identity Disorder (DID) yang sebelum ini dikenali sebagai Multiple Personality Disorder (MPD) merupakan sejenis penyakit mental yang menghadapi stigma yang kuat, lebih-lebih lagi di negara Malaysia yang masih belum diberikan pendedahan teliti tentang penyakit mental ini serta penyakit-penyakit mental (mental illnesses) secara umumnya. DID merupakan gangguan mental yang amat sukar dipercayai malah, malangnya terdapat beberapa psikiatrist yang masih ragu-ragu dengan kewujudan gangguan mental ini. Perkara ini menyukarkan pesakit DID daripada mendapat diagnosis dan pertolongan pakar. Oleh itu, banyak pesakit perlu bergantung kepada doktor pakar dissociation.
Sejak kebelakangan ini, konsep karakter yang menghadapi DID dalam media tempatan seperti filem, drama bersiri dan buku menjadi lebih popular. Sebagai contoh, baru-baru ini, TV3 telah menyiarkan sebuah drama bersiri bertajuk ‘Camelia’ yang menggunakan karakter yang mengalami DID sebagai watak utama. Pasaran filem antarabangsa juga ada menggunakan konsep yang sama seperti filem “Split”, keluaran Amerika Syarikat serta Kdrama “Jekyll, Hyde and Me” keluaran Korea Selatan.
Persoalannya, adakah representasi DID yang terdapat pada media tempatan tepat atau lebih cenderung kepada penggunaan sensasi? Demi menjawab persoalan ini, kita perlu fahami DID terlebih dahulu.
APA ITU DID?
DID adalah sejenis gangguan mental kompleks yang dikategorikan sebagai dissociative disorder. Dissociative disorder boleh dianggap sebagai sebuah respons yang diberikan oleh otak untuk memisahkan seseorang daripada realiti melalui kaedah-kaedah tertentu. Contoh lain dissociative disorder adalah Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD), Otherwise Specified Dissociative Disorder (OSDD), depersonalisation disorder dan derealization disorder.
DID merupakan dissociative disorder yang paling ketara kesannya pada seseorang. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka yang mempunyai DID akan mempunyai lebih dari satu personaliti yang digelar sebagai alter atau parts manakala personaliti yang paling kerap front atau muncul dalam badan tersebut dikenali sebagai host. Oleh itu, sebuah tubuh yang mempunyai DID dikenali sebagai sebuah sistem.
Setiap sistem mempunyai dunia dalaman atau inner world dalam otak badan mereka. Semua alter boleh berjumpa, berinteraksi dan hidup dalam dunia dalaman tersebut. Ketelitian dunia dalaman tersebut bergantung kepada sistem masing-masing, ada yang mempunyai dunia dalaman luas, banyak bangunan serta landskap yang pelbagai dan ada juga yang hanya mempunyai sebuah bilik sebagai dunia dalaman mereka.
Selain dibebankan dengan gangguan mental ini, biasanya beberapa alter dalam satu sistem mempunyai gangguan mental yang lain.
BAGAIMANA DID BOLEH BERLAKU?
DID berlaku pada umur muda, biasanya semasa umur 8 tahun sebelum personaliti seorang individu itu terintegrasi dan menjadi satu personaliti yang sempurna. Otak seseorang yang mempunyai DID akan mewujudkan benteng antara pengalaman dan ingatan tertentu yang dialami oleh ahli sistem tersebut menggunakan amnesia . Perkara ini bermaksud seorang alter akan mengingati sesuatu pengalaman atau kenangan manakala alter/personaliti yang lain tidak mengingatinya.
Setiap alter mempunyai personaliti yang berbeza, sama ada secara semula jadi atau melalui pengalaman yang alter tersebut lalui semasa fronting.
Fronting adalah apabila mana-mana alter yang terdapat dalam sistem tersebut “muncul” dan mengawal badan tersebut. Biasanya hanya satu alter sahaja yang akan front dalam satu masa tetapi tidak mustahil untuk lebih daripada satu alter untuk front bersama dan mengawal badan tersebut. Fenomena ini dikenali sebagai co-fronting. Apabila seorang alter mengambil tempat alter yang fronting sebelumnya pula dinamakan switching yang bermaksud pertukaran.
Alter boleh mempunyai rupa, suara, warna rambut, warna mata, bangsa, loghat, jantina, orientasi seksual, ketinggian, berat dan umur yang berlainan. Alter juga biasanya mempunyai nama-nama yang berlainan.
Namun begitu, tidak semua alter front dengan kerap. Oleh itu, alter tersebut tidak berkembang setara dengan alter lain. Alter seperti ini digelar sebagai fragment. Terdapat juga beberapa alter yang menjadi dormant atau dipendam atas sebab tertentu.
MENGAPA SESEORANG ITU MENGALAMI DID?
Sebenarnya, satu fakta gelap tentang DID yang tidak ramai ketahui ialah DID merupakan gangguan yang malangnya disebabkan oleh trauma zaman kanak-kanak. DID merupakan cara otak seorang kanak-kanak menjauhkan diri dari penderaan, pengabaian, tekanan, bencana alam atau apa-apa faktor yang boleh menyebabkan trauma. Otak mewujudkan seorang alter yang lebih kuat atau lebih sesuai untuk melalui penderaan/pengabaian/tekanan untuk melindungi kanak-kanak yang mengalami trauma tersebut. Perkara ini adalah supaya kanak-kanak tersebut mampu membesar dan menjalani hidup seharian dengan normal dan sihat.
Demi memenuhi tujuan ini, alter mempunyai kategorinya tersendiri, antaranya; Protector, Sexual Protector, Persecutor, Gate Keeper, Trauma Holder.
Secara ringkasnya,
- Protector: Pelindung dalam sistem.
- Sexual Protector: Alter yang melindungi sistem ketika menghadapi situasi seksual yang boleh membawa tekanan kepada host atau sistem tersebut.
- Persecuter: Alter yang menggunakan kaedah pendera kanak-kanak tersebut untuk melindungi sistem dengan caranya tersendiri.
- Gate Keeper: Alter yang mengawal jalan dalam dunia dalaman serta mempunyai akses kepada ingatan, trauma dan emosi.
- Trauma Holder: Alter yang mengingati trauma yang dilakukan pada badan tersebut.
- Setiap alter, walaupun mempunyai tugasan dan tanggungjawab yang tersendiri dalam sebuah sistem, tujuan utama kewujudan mereka adalah untuk melindungi badan.
Akan tetapi, walaupun seseorang itu mempunyai DID sejak kecil lagi, adalah mungkin dia hanya akan tahu kewujudan alter yang lain pada umur dewasa.
DID DALAM MEDIA: APA YANG BENAR, APA YANG KURANG TEPAT?
Dalam membincangkan topik ini, saya akan menggunakan tiga contoh; Split(2016), Camelia (2020), Jekyll, Hyde and Me (2015) sebagai bahan visualisasi dan rujukan perbandingan.
- ALTER KANAK-KANAK?
Hedwig, alter 9 tahun daripada filem Split
BENAR. Alter kanak-kanak memanglah suatu fenomena yang berlaku. Terdapat beberapa alter dalam sistem tertentu yang berumur kanak-kanak. Sebaliknya juga benar, iaitu alter yang berumur jauh lebih tua daripada umur sebenar badan tersebut, malah, ada beberapa alter yang berumur beberapa ribu tahun. Alter tersebut akan bekelakuan bersesuaian dengan umur mereka. Suara mereka juga berubah. Beberapa alter juga mempunyai keluarga mereka sendiri di dunia dalaman. Age-sliding atau perubahan umur juga boleh berlaku kepada beberapa alter dalam satu sistem. Terdapat juga alter yang meningkat umur seperti biasa dan alter yang kekal pada satu umur selamanya.
- ALTER BERLAINAN JANTINA?
Ms Patricia, Split (2016)
BENAR. Alter boleh berlainan jantina daripada badan, malah mereka juga boleh mengalami gender dysphoria iaitu merasakan badan mereka bukan jantina yang betul dengan perasaan dan otak mereka. Alter tersebut mempunyai tubuh badan mengikut jantina mereka di dunia dalaman. Semasa fronting, mereka juga mengenakan suara yang lebih lembut atau lebih garau. Suara tersebut tidak dapat diikuti oleh alter lain kerana suara tersebut adalah milik alter itu sendiri.
- SEORANG RABUN SEORANG TIDAK?

Seo-Jin dan Robin, (Jekyll, Hyde and Me)
BENAR. Terdapat alter yang memerlukan kaca mata manakala ada yang tidak memerlukan kaca mata. Boleh jadi juga dua alter yang memerlukan kaca mata mempunyai preskripsi yang berbeza dan memerlukan lebih dari satu kaca mata.
- ALTER BERLAINAN SPISIS?
The Beast, Split(2016)
BENAR. Percaya atau tidak, alter bukan manusia benar-benar wujud. Adakalanya alter tersebut adalah haiwan, mungkin hantu, mungkin juga makhluk fiksyen. Perkara ini adalah disebabkan oleh trauma yang dihadapi oleh sistem, lebih-lebih lagi seorang kanak-kanak. Pada kanak-kanak itu, mungkin hanya kucing yang cukup fleksibel untuk menjauhkan diri dari pukulan pendera, mungkin hanya duyung yang mampu bernafas dalam air, mungkin hanya hantu yang dapat menghadapi pengalaman hampir maut. Ini adalah realiti pahit yang perlu kita hadapi apabila mengenali alter berlainan spisis dalam sebuah sistem. Alter ini wujud bukan hanya kerana fantasi semata-mata, tapi kerana seorang kanak-kanak sedang mencipta sang pelindung yang mampu menyelamatkannya daripada situasi traumatik.
- SWITCHING BERLAKU SECARA TIBA-TIBA?
Camelia (Camelia 2020)
BENAR Switching memang benar boleh berlaku dengan tiba-tiba, tetapi switching juga boleh mengambil masa. Ada beberapa sistem yang mengambil masa untuk bertukar, malah alter yang sedang fronting juga sedar akan alter lain dalam proses ini. Switching berubah-rubah mengikut keadaan, tekanan yang dihadapi dan mengikut sistem masing-masing. Switching mengejut biasanya berlaku jika badan sedang berhadapan dengan sesuatu yang memberikan trauma dan tekanan yang tinggi. Switching yang dipaksa juga boleh berlaku melalui trigger positif. Namun, switching yang dipaksa boleh membawa kepada sakit kepala atau pening-pening.
- ALTER HANYA BOLEH BERKOMUNIKASI MELALUI MEDIA LUARAN?
Komputer Kevin (Split2016)

Video Robin pada Seo Jin (Jekyll, Hyde and Me)
KURANG TEPAT. Setiap sistem mempunyai inner world iaitu dunia dalaman. Walaupun terdapat beberapa sistem yang menggunakan video journal atau buku rekod, cara utama mereka berjumpa dan berinteraksi dengan alter lain adalah melalui dunia dalaman. Bukan itu sahaja, alter yang sedang fronting juga boleh berkomunikasi dengan alter lain jika alter tersebut "berdekatan." Di dunia dalaman, setiap alter mempunyai badan sendiri dan mempunyai rupa yang berlainan, termasuk umur, spisis dan jantina mereka.
- INTEGRASI ALTER?

Seo-jin dan Robin (Jekyll Hyde and Me 2015)
BENAR. Integrasi antara dua alter memang benar boleh berlaku. Pada kes tertentu, pengintegrasian adalah pilihan beberapa alter supaya dapat melakukan tugasan mereka dengan lebih baik, ada juga kes tertentu yang mana dua alter berintegrasi tanpa niat atas sebab tertentu.
- ALTER JAHAT/PEMBUNUH?
Camelia (Camelia 2020)
The Beast (Split 2016)
KURANG TEPAT. Biasanya alter yang dikatakan seorang yang jahat ialah seorang persecutor, iaitu alter yang banyak menyamai atau menggunakan penderaan dan kaedah yang lebih kurang sama dengan penderaan yang dialami oleh sistem tersebut. Alter ini mungkin memarahi dan terlalu tegas dengan alter lain supaya tidak melakukan sesuatu kesalahan. Realitinya, alter ini cuba melindungi sistem tersebut daripada menaikkan amarah pendera. Dalam sedar atau tidak, semua yang mereka lakukan adalah untuk melindungi sistem mereka. Walaupun alter ini menggunakan kaedah yang kurang sesuai, alter ini adalah contoh bagaimana trauma boleh tertanam pada psikologi seorang kanak-kanak. Mereka bukan pembunuh. Jika terdapat alter yang membunuh, itu bermaksud badan dan sistem itu sendiri secara semula jadinya ingin membunuh. Alter pembunuh tidak akan muncul secara tiba-tiba. Semua alter yang wujud adalah untuk membantu seorang kanak-kanak bertahan dan hidup dengan aman, termasuk alter persecutor.
Akhir kata, walaupun representasi media tentang penyakit ini banyak kebenaran di sebaliknya, ada satu kesalahan besar yang paling ketara dan paling memberikan impak negatif; alter jahat/pembunuh. Walaupun alter pembunuh sekadar untuk menjadikan filem atau drama bersiri kelihatan lebih seronok dan lebih menghiburkan, kita selaku masyarakat awam perlu mendidik diri dan faham bahawa alter pembunuh itu hanyalah penggunaan sensasi dan bukan sesuatu yang 100% benar.
Mereka yang mengalami DID mempunyai kisah silam yang perit dan sedang melalui kehidupan senormal semungkin. Demi menjalani hidup yang normal, DID ialah penyakit yang tersembunyi, maka, besar kemungkinan ada seseorang yang menghadapi penyakit ini dalam hidup kita tanpa kita sedari. Jika seseorang memberitahu kamu bahawa dia mempunyai DID, sokonglah mereka dan terimalah mereka seadanya. Jangan bimbang jika kamu tidak mempercayai mereka dengan sepenuhnya pada peringkat awal, kamu bukanlah orang yang jahat kerana beranggapan seperti itu. Akan tetapi, jangan merendah-rendahkan mereka dan buat kajian sendiri untuk lebih memahami mereka.
Mereka yang mengalami DID mempunyai kisah silam yang perit dan sedang melalui kehidupan senormal semungkin. Demi menjalani hidup yang normal, DID ialah penyakit yang tersembunyi, maka, besar kemungkinan ada seseorang yang menghadapi penyakit ini dalam hidup kita tanpa kita sedari. Jika seseorang memberitahu kamu bahawa dia mempunyai DID, sokonglah mereka dan terimalah mereka seadanya. Jangan bimbang jika kamu tidak mempercayai mereka dengan sepenuhnya pada peringkat awal, kamu bukanlah orang yang jahat kerana beranggapan seperti itu. Akan tetapi, jangan merendah-rendahkan mereka dan buat kajian sendiri untuk lebih memahami mereka.
Jika anda sedang menghadapi gangguan mental atau sedang tertekan, jangan takut untuk hubungi hotline bantuan yang terdapat di Malaysia.
befrienderskk: (+6) 088 255 788
Rujukan:
https://www.youtube.com/dissociaDID (contoh sistem DID)
https://www.youtube.com/multiplicityandme (contoh sistem DID)
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6132594/
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2719457/
https://www.researchgate.net/publication/262025048_Dissociative_identity_disorder_An_empirical_overview
https://www.firstpersonplural.org.uk/dissociation/complex-dissociative-disorders/#:~:text=Those%20whose%20experience%20of%20multiple,they%20would%20be%20considered%20OSDD.
https://medcraveonline.com/JPCPY/formation-and-functions-of-alter-personalities-in-dissociative-identity-disorder-a-theoretical-and-clinical-elaboration.html
http://did-research.org/did/alters/non-human.html
0 Ulasan