Nelayan Ceroboh pelantar minyak di perairan Labuan Ditahan APMM

PERAIRAN LABUAN: Tiga belas nelayan yang menaiki dua bot ditahan kerana menangkap ikan di perairan Labuan secara haram di kawasan larangan berhampiran pelantar minyak dan gas, 52 batu nautika barat laut Labuan pada Jumaat.
Semua nelayan terbabit yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah diserahkan kepada Jabatan Imigresen mengikut Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut.
Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, Kapten Maritim Che Adnan Md Isa, berkata penahanan nelayan berkenaan antara jam 2 dan 3 petang dibuat susulan aduan daripada petugas operasi pelantar minyak berkenaan.
“Bilik operasi kami mendapat panggilan daripada petugas pelantar itu yang mengadu mengenai pencerobohan nelayan menaiki dua buah bot dalam lingkungan perairan pelantar.
“Amat berbahaya untuk menangkap ikan di sekitar pelantar.
Kami sedang mempertingkatkan operasi terhadap pencerobohan di kawasan larangan membabitkan taman marin dan pelantar minyak dalam lingkungan perairan di pulau bebas cukai ini,” katanya kepada BERNAMA kelmarin.
Che Adnan berkata, pemeriksaan turut mendapati nelayan terbabit beroperasi menggunakan lesen perikanan yang tamat tempoh dan gagal memaklumkan mengenai penukaran juragan kepada Jabatan Marin yang menyalahi Ordinan Kapal Saudagar 1952/60. – BERNAMA

0 Ulasan

Taip di atas...