Andai Ini Ramadhan Terakhirku....
Detik demi detik, sedar dalam sedar, lena dalam jaga, kenyang dalam lapar, dibawah separa sedar, Ramadhan selangkah demi selangkah kian meninggalkan kita. Bulan yang penuh nikmat, rahmat dan kemuliaan bakal meninggalkan kita lagi. Persoalan yang sering timbul di minda segelintir umat Islam adalah, "adakah kami akan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan pada tahun hadapan?"
Bagi segelintir umat Islam, terutamanya golongan muda, yang masih sihat dan bertenaga, sudah semestinya mereka tidak risau dek kerana keadaan mereka yang sihat walafiat tanpa sebarang caca cela. Namun, mereka alpa, bahawa Ajal tidak mengenal tua dan muda. Mereka sibuk berpesta, menyambut ketibaan Hari Raya. Tidak kurang pada yang dewasa.
Bagi orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Yang Maha Esa, mereka pasti sedih dan timbul tanda tanya, Andai ini Ramadhan terakhirku, bagaimanalah? Namun, sudah pasti golongan beruntung ini sudah bersedia membawa bekalan akhirat untuk menghadapi alam barzakh dan seterusnya alam akhirat.
Kita sewajarnya membuat refleksi, bila melihat ahli keluarga, yang dulu sihat kini tenat, yang dulu besar kini gusar, yang dulu senang kini susah, yang dulu ada kini tiada, hanya singgah di laman pusara, menitipkan Al-Fatihah dan surah Yassin bersama. Itu boleh jadi kita. Tapi kita alpa, mungkin sudah terbiasa.
Namun, ini bukan pengakhiran, kiranya warkah ini kamu saksikan, jadikanlah pengajaran, jadikanlah tanda ingatan, ini peringatan buat saya, kamu dan kita semua, Umat Muhammad Rasul Tercinta. Usungkanlah pemergian Ramadhan dengan tangisan kegembiraan, dan sambutlah Syawal dengan tangisan kesederhanaan.
Bersama-samalah kita bermuhasabah diri.
Insya-Allah.
Hargai Ramadhan selagi ia ada,
Boleh jadi, ini Ramadhan terakhir kita.
02 Jun 2019
0 Ulasan