Tahukah Anda Tujuan Anak Pokok Diberikan Kepada Para Pemenang Sukan SEA?
Pemenang akan dikalungkan pingat dan patung maskot sebagai kenangan mereka. Ia menjadi satu kelaziman dalam sebarang temasya sukan sama ada tempatan mahupun antarabangsa.
Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA Ke-29 melakukan satu perkara di luar kebiasaan apabila menghadiahkan bakul berisi anak pokok.
Kelainan yang dipersembahkan oleh tuan rumah Sukan SEA Ke-29 adalah bagi menyemarakkan kempen Green Games dalam penganjuran temasya kali ini.
Program yang dinamakan ‘Satu Pingat, Satu Pokok (One Medal, One Tree)’ menyaksikan semua atlet meraih pingat emas, perak dan gangsa akan diberikan satu anak pokok.
Sejumlah 5,249 anak pokok disediakan oleh pihak penganjur dengan setiap pingat emas dimenangi atlet Malaysia sahaja akan ditanam di Bandar Sukan Kuala Lumpur selepas tamat KL2017.
"Kelainan dilakukan ini bertujuan mengimbangi karbon dilepaskan sepanjang temasya itu berlangsung dan meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan pemulihan hutan bagi pemuliharaan biodiversiti," kata Fahmi Omar selaku Pegawai Eksekutif Media Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC).
Bagi menjayakan program ini, Landskap Malaysia telah dilantik menjadi Rakan Inisiatif Hijau.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Fahmi Omar berkata, “Mengikut perancangan MASOC, anak-anak pokok ini akan ditanam di bawah viaduct atau jejambat yang telah dibina untuk membolehkan hidupan liar merentasi kawasan hutan tersebut dengan selamat."
Fahmi Omar turut menjelaskan bahawa sebanyak tiga jenis anak pokok disediakan untuk pemenang pingat dalam temasya tersebut.
3 Jenis Anak Pokok Yang Disediakan:
1. Syzgium Polyanthum (Salam)
2. Garcinia Hombroniana (Bruas)
3. Syzgium Malaccense (Jambu)
0 Ulasan