COVID-19 : 110 dijangkiti di Singapura, 78 dibenarkan pulang


Singapura pada 3 Mac telah mengesahkan dua lagi kes jangkitan COVID-19 dengan satu daripadanya mempunyai kaitan dengan kluster baharu di Wizlearn Technologies Pte Ltd.
Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata kes yang dikaitkan dengan kluster itu membabitkan seorang lelaki warganegara Singapura berusia 33 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini ke negara dan rantau terjejas akibat penularan COVID-19.
Mangsa kini ditempatkan di bilik isolasi Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit, yang menyaksikan bilangan kes jangkitan di kluster itu meningkat kepada 14.
Kedua-dua kes itu menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang positif COVID-19 di republik tersebut setakat ini ialah 110.
Satu lagi kes terbaharu membabitkan seorang warga emas lelaki warganegara Singapura berusia 70 tahun yang juga tidak memiliki sejarah perjalanan baru-baru ini ke negara dan rantau terjejas akibat jangkitan virus itu.
Menurut kenyataan, sebelum dimasukkan ke hospital, mangsa pergi bekerja di Fish Mart Sakuraya, 154, West Coast Road namun tidak melayan pelanggan atau menyediakan makanan.
Mengulas perkembangan terkini situasi kes yang disahkan, MOH berkata setakat ini sejumlah 78 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus itu dan telah dibenarkan keluar dari hospital.
Daripada sejumlah 32 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kementerian itu berkata kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala tujuh daripadanya dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.
Setakat tengah hari pada hari yang sama, MOH mengenal pasti sejumlah 3,173 kontak rapat yang telah dikuarantin.
Republik itu juga mengumumkan bahawa mulai esok, kerajaan akan melarang kemasukan pelancong yang mempunyai sejarah perjalanan ke Iran, Itali utara atau Korea Selatan dalam tempoh 14 hari sebelumnya.
Sumber: BERNAMA

0 Ulasan

Taip di atas...